LearnHindi

Salam e Khaier Kaffante


1.0. Pendahuluan
Tugas utama seorang pendidik adalah untuk memudahkan pembelajaran para pelajar . Untuk memenuhi tuntutan tersebut , seorang pendidik seharusnya menyediakan suasana pembelajaran yang menarik , harmonis dan mencipta pengajaran yang berkesan . Ini bermaksud guru mesti mewujudkan pembelajaran yang dapat meransang minat pelajar disamping sentiasa memikirkan kebajikan dan keperluan pelajarnya . Tambahan pula guru berhadapan dengan situasi pelajar yang berbeza tahap pemikiran dan kebolehan mereka . Oleh yang demikian , seorang guru mestilah ada kepakaran dalam menentukan kaedah , strategi dan teknik yang sesuai dengan perkembangan dan kebolehan pelajar untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran .
Pemilihan pendekatan , kaedah dan strategi yang baik untuk setiap matapelajaran membolehkan isi pelajaran dapat disampaikan dengan baik dan jelas serta boleh mempengaruhi intelek , emosi dan minat pelajar secara berkesan . Untuk mencapai objektif tersebut, guru terlebih dahulu memikirkan kaedah dan teknik yang akan digunakan . Pemilihan strategi yang baik menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijayakan dengan baik dan berkesan .

2.0. Kaedah Pengajaran
Dalam merancang aktiviti mengajar yang berkesan dan bermakna kepada pelajar guru hendaklah memilih kaedah pengajaran yang sesuai dengan kebolehan dan intelek mereka . Kaedah pengajaran adalah terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu . Pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran tertentu . Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal dalam diri seseorang .
Mok Soon Sang (2006) mentakrifkan pengajaran merupakan sesuatu aktiviti yang meliputi pengajaran guru disertai dengan aktiviti pelajar. Lantaran itu, kaedah pengajaran dan teknik yang boleh digunakan oleh guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran ialah kaedah sumbang saran, kaedah tunjuk cara , simulasi atau pengajaran berkumpulan , kaedah perbincangan atau kaedah penyelesaian masalah dan sebagainya .
Pengajaran mempunyai matlamat tertentu. Antara tujuan utama ialah perubahan tingkah laku murid serta pencapaian objektif - objektif yang disediakan bagi satu-satu pengajaran . Oleh itu , adalah penting seorang guru merancang dengan baik tentang kaedah yang hendak digunakan dalam pengajaran . Pemilihan kaedah pengajaran yang sesuai akan membawa pengajaran yang berkesan serta pembelajaran yang bermakna dan menyeronokkan bagi pelajar .



Kaedah pengajaran ada beberapa jenis . Antaranya ialah :
a) Kaedah sokratik
Objektif pengajaran sokratik yang utama ialah pertanyaan . Apa yang penting ialah kemahiran menyoal yang menuju kepada kebenaran . Kaedah ini lebih berbentuk elektif iaitu perbualan , peranan guru mengemukakan soalan dan murid menyusun pengalaman lampau dengan menjawab soalan-soalan tersebut .
b) Kaedah projek
Kaedah projek merupakan kaedah di mana pelajar menjalankan sesuatu uji kaji atau kegiatan di dalam situasi sebenar bertujuan mendapatkan sesuatu hasil . Contohnya projek bercerita yang melibatkan pembelajaran dengan bentuk lisan lagu, muzik, gambar dan sebagainya .
c) Kaedah dapatan atau penyelidikan
Kaedah ini membolehkan pelajar menyelidik sendiri melalui pemerhatian , percubaan dan ujian . Contohnya dalam mata pelajaran Sejarah , pelajar akan belajar mencari fakta tentang zaman yang mereka pelajari .
d) Kaedah penyelesaian masalah
Kaedah ini menjurus kepada kaedah penyiasatan yang saintifik . Kaedah penyelesaian masalah melibatkan beberapa langkah seperti mengenal pasti masalah , mengenal pasti maklumat , membuat hipotesis , menguji hipotesis dan menilai dan membuat rumusan . Contohnya dalam menangani masalah disiplin pelajar yang berlaku di sekolah .

2.1. Konsep Kaedah
Sebelum kita membincangkan konsep kaedah pengajaran terlebih dahulu kita melihat pengertian kaedah secara umum . Kaedah mengikut Kamus Dewan ( 1992 ) bermaksud cara atau aturan ( membuat sesuatu ) , hukum atau prinsip . Oleh itu , sesuatu kaedah terdiri dari daripada siri tindakan yang bersistematik dan tersusun untuk mencapai satu matlamat .
Hasan Langgulung ( 1981 ) pula mengatakan kaedah itu sebenarnya bermaksud jalan untuk mencapai tujuan . Jadi apa saja cara tindakan dan aktiviti yang guru lakukan untuk memberi faham kepada pelajar bagi mencapai objektif pengajaran , maka itu adalah kaedah . Menurut Abu Saleh ( 1988 ) mengatakan kaedah ialah satu aktiviti pengajaran yang mengandungi langkah-langkah yang tersusun dalam tiap - tiap langkah itu pula mempunyai kemahiran dan latihan yang terancang . Beliau beranggapan kaedah mengajar bukanlah tujuan utama pengajaran tetapi ia merupakan wasilah , iaitu satu jalan untuk mencapai objektif pengajaran .
Mok Soon Sang ( 1992 ) pula mengatakan kaedah ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah penyampaian yang tersusun . Ahmad Mohd Salleh ( 2008 ) menyatakan kaedah merupakan satu perancangan yang bersistematik secara keseluruhan untuk meyampaikan bahan pengajaran . Ianya merupakan satu prosedur melakukan sesuatu berasaskan tanggapan-tanggapan asas yang dibina melalui pendekatan . Dengan itu , sesuatu pendekatan memungkinkan beberapa kaedah . Bagi Ee Ah Meng ( 1991 ) mentakrifkan kaedah ialah suatu tindakan guru yang bersistematik serta berturutan dan bertujusn mencapai objektif spesifik , iaitu jangka pendek sesuatu pelajaran . Jesteru itu , kaedah mengajar bererti cara mendekati sesuatu objektif dengan langkah-langkah tertentu yang tersusun dan teratur . Untuk menjayakan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermakna kita hendaklah kaedah yang betul beserta dengan teknik yang tepat . Tanpa teknik yang tepat dan betul kita tidak akan dapat mencapai matlamat kaedah yang diingini .
Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran guru hendaklah menggunakan kaedah yang sesuai yang boleh menarik minat dan dapat memenuhi keperluan pelajar. Oleh itu, guru perlu merancang prosedur yang jelas supaya pelajar dapat mengambarkan dengan jelas dalam fikiran mereka apa yang disampaikan oleh guru. Sebagai contoh jika kita ingin memasak ikan kita perlu fikirkan apakah kaedah memasak yang kita boleh gunakan. Antara kaedah yang biasa kita gunakan ialah mengoreng, merebus, memanggang atau mengukus dan sebagainya. Andaikan kita memilih kaedah mengoreng, terlebih dahulu kita membuat beberapa prosedur sebelum mengorengnya. Kita perlu menyediakan bahan-bahan seperti garam dan minyak dan sebagainya . Jika bahan tersebut tidak ada kita tidak boleh mengoreng ikan tersebut mengikut apa yang kita rancangkan.
Kesimpulannya, kaedah merupakan satu perancangan atau prosedur bagi melaksanakan pengajaran secara teratur, kemas dan sistematik. Ianya merupakan satu langkah atau peringkat pengajaran yang tersusun rapi dan kesinambungannya harus dituruti dengan saksama bagi mencapai satu pelajaran yang bermakna. Kaedah pengajaran mestilah berubah mengikut keadaan semasa, tempat dan pelajar. Dengan demikian , guru harus pandai memilih kaedah yang baik, yang sesuai dengan keadaan masa, tempat dan kebolehan pelajar . Guru juga bertanggungjawab memilih kaedah yang member kesan yang mendalam bukan sahaja kepada kefahaman pelajar yang diajar malahan yang boleh member kesan kepada jiwa dan menyentuh perasaan pelajar . Selain itu , kaedah pengajaran yang baik ialah mempunyai langkah-langkah dan strategi yang tersusun serta objektif dapat dicapai yang jayanya .

2.2 Perbezaan antara strategi , pendekatan kaedah dan teknik
Strategi , pendekatan kaedah dan teknik adalah suatu yang amat sukar untuk dibezakan . Sesetengah berpendapat bahawa semua istilah itu adalah sama dengan cara pengajaran sahaja . Walau apapun tanggapan ianya adalah satu perkara yang amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia adalah merupakan konsep asas untuk membentuk suatu rancangan harian yang sempurna oleh seorang pendidik .



2.2.1 Strategi
Menurut Ee Ah Meng ( 1991 ) strategi merupakan kaedah dan teknik yang dirancangkan dan digunakan dalam satu-satu pengajaran . Dengan itu , startegi pengajaran dan pembelajaran merangkumi semua kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru .
Wan Zah Wan Ali Prof Madya ( 2003 ) berpendapat strategi merangkumi beberapa aspek urutan dan susunan maklumat dan membuat keputusan bagaimana menyampaikannya. Guru akan memikirkan keseluruh proses pengajarannya. Contohnya , seorang guru hendak mengajar bagaimana untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran bagi memandu traktor . Guru akan menetapkan objektif pengajaran peringkat kognitif , psikomotor dan efektif . Apakah strategi yang akan digunakan untuk memberi kefahaman kepada pelajarnya . Sudah tentunya guru tersebut menggunakan teknik yang tertentu dan sesuai untuk menjelaskannya bagi mencapai objektif pengajaran .
Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu maklumat dengan menggunakan tenaga , masa serta kemudahan secara optimum . Gabungan kaedah dan teknik pula akan membentuk strategi pengajaran dan pembelajaran yang digunakan oleh guru untuk mencapai objektif jangka panjang satu-satu pendekatan . Strategi pengajaran biasanya diklasifikasikan mengikut tumpuan yang diberikan . Jika tumpuan kepada guru, gurulah yang memanopolikan percakapan atau aktiviti maka strategi ini disebut strategi pemusatan guru . Sebaliknya kalau tumpuan diberikan kepada pelajar seperti melibatkan mereka menjalankan aktiviti-aktiviti maka strategi pemusatan murid ditekankan .
Peranan strategi adalah penting dan berbeza mengikut kebolehan , pencapaian , kecenderungan serta minat pelajar yang berbeza-beza . Contohnya dalam bilik darjah biasanya terdiri daripada pelajar yang lemah , sederhana dan cergas . Sebagai guru kita mesti bijak memilih strategi pengajaran yang terdiri daripada pelbagai kaedah mengajar untuk memenuhi keperluan semua kumpulan pelajar untuk membentuk strategi pengajaran yang paling berkesan .

2.2.2 Pendekatan
Pendekatan dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju sesuatu sasaran . Dalam pengertian yang lebih luas pendekatan diertikan sebagai “ to come near to in any sense” atau jalan yang diambil untuk melakukan sesuatu . Pendekatan-pendekatan yang dipilih biasanya berasaskan teori-teori yang tertentu .
Ahmad Mohd Salleh (2008) menyatakan pendekatan adalah mendekatkan sesuatu bidang pendidikan dan setiap pendekatan itu hendaklah mencerminkan satu pandangan tentang hakikat satu matlamat pelajaran . Sebagai contoh , ketika mengajar satu-satu pelajaran guru hendaklah membina satu pendekatan supaya diterima oleh pelajar , di mana pendekatan itu ialah pendekatan tentang isi pelajaran . Dari sini murid-murid akan senang memahami sesuatu isi pelajaran .
Menurut Ee Ah Meng ( 1991 ) , pendekatan bermakna “ cara mendekati sesuatu”. Dalam pengajaran, pendekatan merujuk kepada cara bagaimana sesuatu mata pelajaran diajar berdasarkan kepada objektif jangka panjangnya. Pendekatan harus mencerminkan satu teori pengajaran dan pembelajaran misalnya dalam teori pembelajaran yang diasaskan oleh Galstat , beliau mengatakan bahawa kita mempelajari sesuatu situasi itu secara keseluruhan dan kemudian memperincikan elemen-elemen satu pandangan ataupun sebagai satu teori pembelajaran , maka kita boleh menjadikan sebagai satu pendekatan dalam suatu pengajaran .
Menurut Edward M.Anthony (1963) , pendekatan merupakan satu set andaian yang saling berkaitan dengan proses pengajaran dan pembelajaran serta mempunyai unsure aksiomatik . Berdasarkan huraian Edward , kita boleh merumuskan bahawa pendekatan harus berlandaskan model, prinsip atau teori pembelajaran , misalnya daripada konkrit kepada abstrak , keseluruhan kepada bahagian , mudah kepada kompleks , umum kepada spesifik (deduktif) , spesifik kepada umum (induktif) dan sebagainya.
Pendekatan pengajaran merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk mendekati atau memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran , sesuatu mata pelajaran atau sesuatu kemahiran . Pendekatan wujud berdasarkan aspek-aspek pengajaran yang kita ingin utamakan atau memberi perhatian yang lebih utama .
Sebagai kesimpulannya , pendekatan dalam bidang pendidikan merujuk satu set teori pembelajaran yang beraksoimatik dan diamalkan dalam pengajaran sesuatu mata pelajaran berdasarkan objektif yang hendak dicapai .

2.2.3 Teknik
Teknik merujuk kepada unit-unit kecil yang terkandung dalam sesuatu keadah . Teknik merangkumi aktiviti , perlakuan dan kemahiran guru yang digunakan dalam pengajaran . Mengikut Ee Ah Meng ( 1991 ), teknik ialah cara menjalankan pelbagai langkah dalam pengajaran . Contohnya dalam kaedah bercerita , pelbagai teknik digunakan untuk menjadikan cerita itu bermakna dan menyeronokkan . Guru hendaklah menggunakan teknik timbul minat ( motivasi ) murid-murid . Bagi menguji kefahaman murid tentang cerita itu , guru menggunakan teknik menyoal yang merangkumi cara soalan dikemukakan , bilangan soalan , kadar penyoalan , taburan soalan dan sebagainya .
Azman Wan Chik( 1987 ) pula berpendapat teknik ialah apa yang kita lihat di dalam bilik darjah . Sesuatu teknik harus dilihat dalam konteksnya dengan kaedah yang digunakan . Umpamanya seorang guru pendidikan Islam mengajar pelajar menghafaz al_Quran dengan mendengar bacaan dalam pita kaset , maka ini dikatakan teknik .
Oleh itu , teknik pengajaran boleh ditakrifkan sebagai kemahiran guru dalam mengelolakan dan menjalankan langkah-langkah dalam aktiviti pengajaran . Ia menekankan aspek bagaimana menggunakan sumber-sumber pengajaran serta menimbangkan langkah-langkah pengajaran . Dengan kata lain teknik merujuk kepada tingkah laku guru semasa menggunakan sesuatu kaedah pengajaran . Jika guru tidak dapat menguasai teknik-teknik yang ada pada sesuatu kaedah maka kemungkinan besar matlamat kaedah itu akan tidak berhasil .

2.3 Kaedah Pengajaran Dalam bidang Ibadah
Bidang Ibadah adalah merupakan satu komponan yang terdapat dalam mata pelajaran Pendidikan Islam Tingkatan tiga yang banyak menjurus kepada penerangan kefahaman , mencari sebab dan musabab dan sebagainya . Oleh itu , terdapat enam keadah pengajaran yang sesuai digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran . Antaranya ialah:
a) Penerangan
b) Perbincangan
c) Sumbang saran
d) Tunjuk cara ( demonstrasi )
e) Simulasi
f) Banding beza

3.0 Pemilihan kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Ibadah
Bagi menyiapakan kerja kursus ini , mengikut bidang yang kami pilih di atas iaitu bidang Ibadah , dalam sukatan mata pelajaran Pendidikan Islam tingkatan tiga di bawah tajuk “Solat ketika sakit” kami telah memilih tiga keadah yang difikirkan sesuai pada pandangan kami iaitu kaedah sumbangan saran , kaedah penerangan dan kaedah tunjuk cara ( demonstrasi ).

3.1. Kaedah penerangan
Kaedah penerangan merupakan kaedah pengajaran yang lebih berpusatkan kepada guru. Maksudnya di sini ialah guru memberi penerangan tentang sesuatu tajuk pelajaran atau isi pelajaran secara lisan . Bagi menghasilkan pengajaran yang berkesan serta memberi kefahaman kepada pelajar , guru perlu menggunakan alat bantu mengajar seperti gambar , carta atau LCD untuk menarik minat pelajar dalam pelajaran tersebut . Kaedah ini sesuai digunakan untuk pengajaran tilawah al-Quran bahagian kefahaman .
Walau bagaimanapun dalam pengajaran dan pembelajaran yang kami rancang , kami bercadang untuk menggunakan kaedah ini dilangkah yang kedua semasa proses pengajaran dan pembelajaran . ( Sila lihat Lampiran Rancangan pengajaran Harian yang dilampirkan ) . Bagi kami kaedah penerangan sesuai diaplikasikan dalam semua tajuk pelajaran pendidikan Islam . Guru boleh melaksanakan kaedah ini dalam pengajaran dan pembelajaran yang menyentuh ayat al-Quran atau hadis sebagai dalil atau hujah atau untuk setiap fakta yang memerlukan pentakrifan . Jesteru itu, kami menggunakan kaedah ini pada langkah yang kedua bagi hasil pembelajaran aras satu . (sila lihat lampiran rancangan pengajaran ) . Aplikasi penggunaan kaedah penerangan pada aras ini adalah sebagaimana berikut:
i) Guru mempamirkan hadith kepada murid
ii) Guru meminta pelajar membaca hadith beserta terjemahannya.
iii) Guru menerangkan maksud hadith dengan menerangkan pengertian kalimah atau hadith .
iv) Guru menerangkan maksud solat ketika sakit.
Kaedah ini adalah sangat menarik kerana penerangan boleh digabungjalinkan dengan teknik-teknik lain seperti soal jawab , perbincangan supaya pengajaran dan pembelajaran lebih menarik dan berkesan . Penerangan yang diikuti dengan soal jawab lisan atau bertulis untuk menguji kefahaman pelajar terhadap isi pelajaran yang telah disampaikan .

3.2 Kaedah sumbang saran
Sumbang merupakan satu aktiviti perbincangan yang dikendalikan secara berkumpulan . Sumbang saran juga dikenali sebagai pencambahan fikiran ( brainstorming ) yang merupakan satu sesi perbincangan yang membolehkan setiap kumpulan menyumbangkan pendapat dan idea terhadap sesuatu topik perbincangan .
Kaedah sumbang saran telah kami gunakan pada langkah keempat , isi pelajarannya ialah sebab-sebab diwajibkan solat walaupun sakit dan hikmah rukshah solat ketika sakit dan perbezaanya ketika musafir pada hasil pembelajaran aras kedua dan ketiga iaitu menjelaskan hikmah diharuskan solat dan menjelaskan perbezaan solat ketika sakit dan ketika musafir (sila lihat lampiran rancangan pengajaran harian yang dilampirkan ) . Aplikasi kaedah ini di mana kami telah melaksanakan sepertimana berikut:
i) Guru membentuk kumpulan kecil untuk berbincang bagi menyumbangkan idea .
ii) Guru mengedarkan beberapa kertas kepada setiap kumpulan kecil untuk mencatat perbezaan antara rukshah solat ketika sakit dan ketika musafir .
iii) Guru memberikan tempoh masa untuk mengemukakan sebanyak mungkin idea yang guru telah tentu .
iv) Guru memilih beberapa orang murid untuk membentangkan hasil kerja mereka .

Satu keistemewaan kaedah ini , dalam setiap aktiviti guru tidak boleh mengkritik setiap apa yang dikemukakan sebaliknya guru mestilah bertindak positif dan bersikap terbuka dengan menerima semua idea yang diberikan oleh murid-murid .
Antara tujuan kaedah sumbang saran ialah menggalakkan murid menggunakan pemikiran imaginasi secara kreatif . Selain itu , dapat memupuk semangat kerja sama dan dapat berkongsi maklumat antara satu sama lain . Kaedah ini merupakan satu kaedah yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ia adalah satu cara untuk memperolehi banyak idea dalam tempoh masa yang singkat . Dalam kaedah ini lebih banyak idea baru dikemukan oleh murid berbanding kaedah analitik biasa .

3.3 Kaedah tunjuk cara ( demonstrasi )
Tunjuk cara adalah suatu jenis teknij pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan kemahiran guru mendemonstrasikan cara atau langkah melakukan aktiviti di hadapan pelajar. Oleh itu , teknik tunjuk cara ini juga dikenali sebagai demonstrasi (Mok Soon Sang , 2008).Tunjuk cara atau demonstrasi merupakan kaedah pengajaran seseorang individu membuat sesuatu di hadapan individu lain untuk menunjukkan bagaimana sesuatu perbuatan itu dilakukan ( Ee Ah Meng , 1991 ) . Jesteru itu , kami menggunakan kaedah ini pada langkah pertama isi pelajaran dan hasil pembelajaran aras satu (sila lihat lampiran) . Aplikasi kaedah ini sebagaimana berikut:
i) Guru menayangkan LCD yang menunjukkan cara-cara solat ketika sakit .
ii) Guru membentuk pelajar kepada lima kumpulan kecil.
iii) Guru meminta murid berbincang dalam kumpulan mengisi peta konsep cara-cara solat ketika sakit berpandukan tayangan LCD tersebut .
iv) Guru meminta beberapa pelajar menunjukkan cara-cara solat ketika sakit di hadapan kelas
Semasa demonstrasi dijalankan guru boleh mengemukakan beberapa soalan kepada murid-murid untuk menarik perhatian mereka terhadap isi pelajaran dan menguji kefahaman mereka terhadap penyampaian guru . Pelajar juga diberi peluang untuk melakukan aktiviti demonstrasi sepertimana yang di tunjukkan dalam klip video tersebut. Teknik tunjuk cara telah memberikan beberapa kebaikan dan kesan kepada pelajar , antaranya :
a) Murid dapat mencontohi apa yang ditunjukkan dengan mudah dan tepat .
b) Dapat mengukuhkan ingatan pelajar mengenai tajuk dan langkah-langkah untuk melaksanakanya.
c) Murid-murid lebih mudah untuk memahami isi pelajaran yang disampaikan oleh guru .
d) Penggunaan teknologi maklumat dapat menarik minat dan tumpuan murid-murid untuk belajar .
e) Kesilapan murid-murid dapat diperbetulkan oleh guru secara terus , ini secara tidak langsung dapat memperbaiki kualiti pengetahuan pelajar dan juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan .
f) Murid-murid mengalami pengalaman sendiri situasi pembelajaran dengan mendemonstrasi apa yang dilihat dan dipersembahkan dihadapan kelas .


















4.0 Rancangan Pengajaran Harian

RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN
BUTIRAN AM
Nama Guru : Hasna Hanis bt Ramli
Tingkatan : Tiga Al-Kindi.
Tarikh : 10 Oktober 2010
Masa : 8.40 pagi-10.00 pagi
Bilangan pelajar : 38 orang
Umur : 15 Tahun
Mata pelajaran : Pendidikan Islam
Tajuk/Sub tajuk : Ibadah; Solat ketika sakit
Pengetahuan sedia ada :
i) Murid sentiasa mengerjakan solat fardhu.
ii) Murid sentiasa berdoa selepas mengerjakan solat .
iii) Murid pernah melihat orang solat secara duduk .
iv) Murid mematuhi arahan guru .
Gabung jalin : Pendidikan Kesihatan dan Jasmani , perubatan, adab dan akhlak .
Penyerapan nilai : Akidah , keberkatan hidup .

Penerapan nilai :
i) Tabah dan sabar menghadapi ujian Allah SWT .
ii) Taat dalam menunaikan perintah Allah SWT .
iii) Sabar dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan .
Pendekatan : Pembelajaran koperatif , banding beza .
Kaedah : Penerangan , sumbang saran dan tunjuk cara ( demonstrasi ).
BBM : Carta dalil naqli, buku Teks , Gambar , Kertas edaran , LCD/Video.
Hasil pembelajaran :
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid akan dapat:
i) Aras Satu
a) Menerangkan maksud solat ketika sakit
b) Menyatakan maksud hadith yang menjadi dalil diharuskan solat
c) Menerangkan cara melakukan solat ketika mengikut kemanpuan.
ii) Aras Dua
a) Menjelaskan hikmah diharuskan solat mengikut keupayaan ketika sakit .
iii) Aras Tiga
a) Menerangkan sebab-sebab diwajibkan solat walaupun sakit .
b) Membezakan rukhsah solat ketika sakit dengan rukhsah ketika musafir .

STRATEGI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Langkah/minit
Isi pelajaran
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran
Catatan/Alat
Pendahuluan
(2 minit)
Doa belajar harian:
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم افتح علينا حكمتك وانشرعلينا من خزائن رحمتك يا ارحم الراحمين .اشهد ان لا اله الأ الله وأشهد ان محمد الرسول الله
1.Guru meminta murid-murid membaca doa secara kuat dengan lancar dan betul
2.Murid membaca doa belajar dengan bimbingan guru.

Set Induksi
(5 minit )
Tayangan gambar orang sakit
1.Guru menunjukkan gambar orang sakit yang terlantar di hospital kepada murid-murid seraya bertanya : Apakah yang kamu lihat ? Adakah golongan ini wajib menunaikan solat. Tahukah kamu kaifiat solat bagi orang sakit.
2. Guru membuat kesimpulan daripada jawapan murid dan mengaitkan dengan tajuk pelajaran.
BBM:
LCD
Langkah 1
(20 minit)
Maksud solat ketika sakit dan dalil naqli
1.Guru mempamerkan hadith dipapan gulung di hadapan kelas.
2.Guru membaca dan menerangkan hadith tersebut. Murid-murid memberi perhatian.
3. Guru meminta pelajar membaca hadith dan terjemahan.
4.Guru menerangkan maksud solat ketika sakit
BBM:
1.Papan gulung
Kaedah:
1.Penerangan
Langkah 2
(25 minit)
1.Cara solat ketika sakit
2.Hikmah rukhsah solat ketika sakit

1. Guru menayang LCD tentang cara solat ketika sakit
2. Guru membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan kecil dan memberi kertas edaran .
3. Guru menjelaskan tentang cara solat ketika sakit .
4. Guru meminta murid-murid memenuhi peta konsep yang diberi mengenai cara solat ketika sakit .
5. Guru meminta beberapa orang murid menunjukkan salah satu cara solat ketika sakit di hadapan kelas ( solat duduk ).
6. Guru meminta pelajar menyatakan hikmah diharuskan solat mengikut keupayaan ketika sakit
BBM:
1.Kertas edaran
2.LCD
Kaedah:
1.Demonstrasi
2.Sumbang saran
Langkah 3
(25 minit )
1.Sebab diwajibkan solat walaupun sakit
2.Perbezaan rukhsah solat ketika sakit dan musafir
1.Guru mengadakan perbincangan dengan murid tentang sebab diwajibkan solat walaupun ketika sakit.
2.Murid membuat peta minda tentang perbezaan rukhsah solat ketika sakit dan musafir .
3. Guru memilih beberapa orang pelajar membentangkan hasil kerja mereka
4. Guru membuat kesimpulan .
BBM:
1.Buku teks
2. Peta konsep
Kaedah:
Sumbang saran
Penutup
( 5 minit )
1. Kognitif
2. Sosial
1. Guru membuat kesimpulan terhadap isi-isi penting .
2.Murid-murid diminta membaca hadith ,perkara penting yang berkaitan dengan isi pelajaran
3.Murid-murid diminta membuat kerja rumah sepertimana dalam buku teks
4. Guru memberi kata-kata pujian dengan kerja sama yang ditunjukkan oleh murid-murid .
5. Guru meminta pelajar membuat ulangkaji di rumah dengan apa yang dipelajari .
BBM:
Buku teks
Lembaran kerja.

Ulasan guru pelatih :

___________________________________________________________________________


Ulasan pensyarah/guru pembimbing:
______________________________________________________________________________________________________________________________







5.0 Kesimpulan
Di sini kami tegaskan bahawa penggunaan kaedah dan teknik yang pelbagai akan menjadikan sesuatu pengajaran itu menarik dan akan memberi ruang untuk membolehkan murid terlibat secara aktif dan mengambil bahagiannsepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa merasa jemu dan bosan . Oleh itu , untuk menarik minat dan penyertaan murid-murid kami telah menggunakan tiga kaedah iaitu kaedah penerangan , kaedah sumbang saran dan kaedah demonstrasi .
Pada kami ketiga-tiga kaedah ini adalah kaedah yang sangat berkesan untuk digunakan oleh guru untuk menarik perhatian murid-murid dalam sesuatu pengajaran . Aktiviti-aktiviti yang dipilih adalah menarik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk membolehkan isi pelajaran dan konsepnya dapat diterjemahkan secara jelas . Aktiviti di dalam ketiga-tiga kaedah ini boleh mempengaruhi intelek , emosi dan minat murid secara berkesan serta manpu membantu guru untuk menjelaskan pengajarannya .
Oleh yang demikian pemilihan kaedah dan teknik perlu dilakukan secara berhati-hati supaya guru dapat melaksanakan preses pembentukan pengajaran dan pembelajaran secara mudah dan berkesan.Cara pembelajaran yang berlainan menghasilkan kaedah yang berlainan . Kaedah yang berlainan menghasilkan teknik yang berlainan . Gabungan semua kaedah dan teknik pula akan membentuk strategi pengajaran-pembelajaran yang digunakan oleh guru untuk mencapai objektif dalam setiap pendekatan mereka sama ada pendekatan berpusatkan guru , pelajar atau pendekatan berpusatkan bahan .