Ulasan Jurnal 2 (KAEDAH PENGAJARAN PENGETAHUAN AGAMA ISLAM DI BRUNEI DARUSSALAM)





SINOPSIS JURNAL 

    Kajian ini telah dijalankan di beberapa buah sekolah menengah di daerah Brunei-Darussalam. Kajian ini ditulis oleh Hj Maimun Aqhsa Lubis dan Roslan Jaafar yang menuntut di UKM ,Bangi, Selangor. Tajuk kajian ialah Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam Di Brunei Darussalam. Objektif kajian mengenai tiga perkara penting iaitu perlaksanaan pengajaran Pengetahuan Agama Islam, kaedah popular digunakan oleh para guru dan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah menengah Brunei-Darussalam. Format kajian ialah soal selidik ( temuduga ) ke atas pelajar dan guru dan pencerapan ke atas guru yang mengajar Pengetahuan Agama Islam. Responden terdiri daripada 26 orang guru yang mengajar tingkatan lima dan seramai 148 orang pelajar tingkatan lima. Metodologi kajian ialah penulis mengedarkan borang soal-selidik kepada pelajar dan guru. Borang soal selidik tersebut mengandungi tiga bahagian iaitu Bahagian A berkenaan perlaksanaan pengajaran Pengetahuan Agama Islam. Bahagian B mengenai kaedah popular yang digunakan oleh guru dan Bahagian C berkaitan kaedah pengajaran berkesan. Penulis juga mengemukan 10 soalan temuduga yang merangkumi aspek perkaedahan, bahan bantu, masalah yang dihadapi oleh guru agama dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengajaran Pengetahuan Agama Islam yang dijalankan di sekolah –sekolah menengah di daerah Brunei-Muara berada pada tahap yang sederhana iaitu tahap keberkesanannya belum mencapai tahap yang maksima. 
 

 1.0) Pendahuluan 
Pengajaran adalah satu proses berkerja bersama pelajar untuk membantu mereka berkebolehan dan berkemungkinan untuk memperolehi ilmu . Ia melibatkan usaha mencari dan mengenal pasti salah tafsiran pelajar terhadap sesuatu yang diajarkan , mengambil tindakan untuk memastikan perubahaan kefahaman dan mencipta konsep pengajaran yang berkesan ( Ramsden, 1993 ; Trigwel , Prosser & Lyons, 1997) . Manakala pembelajaran di sekolah merupakan satu pergerakan ke arah pembentukan insan yang berupaya menyelesaikan persoalan yang kompleks , mengiktiraf kuasa dan keelokan konsep-konsep sesuatu bidang pelajar dan menggunakan ilmu yang dipelajari di dalam kelas dalam menyelesaikan masalah di luar kelas. Ertinya pembelajaran itu berguna bagi mentafsir dunia yang kita diami ini . Pembelajaran yang sebenar dapat mengubah kefahaman seseorang mengenai sesuatu ( Ramsden , 1988 ) . Kaedah pengajaran pula boleh ditakrifkan sebagai cara atau peraturan membuat sesuatu . Kaedah juga merujuk kepada satu tindakan guru yang sistematik dengan tujuan mencapai objektif pelajaran yang spesifik dalam jangka masa pendek . Dengan kata lain, kaedah pengajaran ialah cara mendekati sesuatu objektif pelajaran dengan langkah-langkah penyampaian yang tersusun . Sebagai sebuah Negara yang mengamalkan falsafah Melayu Islam Beraja ( MIB ) kerajaan Negara Brunei Darussalam amat menitikberatkan ajaran islam sebagai pegangan bagi setiap masyarakat khasnya bagi mereka yang menganuti agama Islam . Lantaran itu , kajian kaedah pengajaran Pengetahuan Agama Islam telah dijalankan . Di antara tujuan utama kajian adalah untuk mengenal pasti kaedah pengajaran yang popular dan selalu digunakan oleh guru-guru agama dan juga mengenal pasti kaedah pengajaran yang berkesan dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam ( PAI ) . Kajian penulis mengenai tiga perkara penting iaitu perlaksanaan pengajaran Pengetahuan Agama Islam , kaedah popular digunakan oleh para guru dan keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta halangan keberkesanannya ke atas para pelajar. 


 2.0) Langkah Untuk Meningkatkan Keberkesanan Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam di Brunei Darussalam . 
Mengikut kajian yang telah dibuat menunjukkan tahap keberkesanan pengajaran Pengetahuan Agama Islam di Brunei belum mencapai tahap yang maksima . Pancapaian ini dapat ditingkatkan keberkesanannya dengan mengambil beberapa pendekatan . Antara cadangan untuk mempertingkatkan keberkesanannya ialah : 

 2.1) Belajar secara berkumpulan. Guru hendaklah mengadakan kerja berkumpulan , perbincangan dan guru bertindak sebagai pemudah cara . Keberkesanan kaedah mengajar dan hubungan yang mesra di antara guru dan pelajar di pusat - pusat pengajian dari peringkat rendah sehingga peringkat tinggi adalah penting supaya penyampaian pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan memudahkan pencapaian matlamat yang telah digariskan .

 2.2) Personaliti seorang guru . Seorang guru semestinya mempunyai cirri-ciri yang mulia , kreatif , progresif , efektif dan memastikan perkembangan setiap individu bertambah maju dan mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran . Sebaliknya, jika guru tidak berfungsi dengan baik perkembangan dan keberkesanan ilmu dalam masyarakat akan terjejas . Peranan guru adalah untuk mempertingkatkan potensi sama ada jasmani , emosi , rohani dan intelektual ( Abdul Halim 1986 ) . 

 2.3) Penguasaan ilmu dan mempelbagaikan kaedah pengajaran . Menurut Azman ( 1987 ) menguasai isi kandungan pelajaran diajar sahaja tidak mencukupi untuk menjamin prestasi pengajaran yang tinggi sebaliknya hendaklah menguasai kaedah dan teknik untuk memyampaikan isi pelajaran tersebut. Guru hendaklah pandai mengurus bilik darjah agar pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dengan lancar , sempurna dan berkesan . Disamping itu , pihak sekolah juga hendaklah menyediakan kemudahan-kemudahan alat bantu mengajar seperti lut sinar ( OHP ) , bilik pandang dengar , video , televisyen dan lain - lain alat bantu mengajar . Pembelajaran pelajar akan berlaku dengan baik jika guru mengetahui kaedah yang sesuai dengan isi pelajaran. Kaedah pengajaran untuk mengajar teori adalah berbeza daripada kaedah untuk mengajar kemahiran . Oleh itu , guru perlu mahir dalam mempelbagaikan kaedah mengajar . Kemahiran guru adalah penting untuk proses tersebut . 

 2.4) Keterlibatan ibu bapa dan agensi –agensi kerajaan . Guru-guru Pendidikan Islam dan pihak ibu bapa serta agensi-agensi kerajaan juga memainkan peranan untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran PAI . Sebagai contoh Radio , Televisyen dan Kementerian Agama hendaklah membuat pita video dan cekera padat yang sesuai dengan tajuk-tajuk pelajaran untuk menambahkan lagi kefahaman para pelajar . Disamping perkara yang telah disebutkan di atas, beberapa pendekatan lain yang perlu diambil untuk mempertingkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Pengetahuan Agama Islam . Antaranya adalah sebagaimana berikut: 
a) Pemantauan rakan sejawatan . Rakan sejawatan boleh memainkan peranan positif sebagai pemantau menggantikan pengetua . Rakan sejawatan boleh menghuraikan segala masalah yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran , mengenal pasti kelemahan atau membimbing rakannya mengenai amalan pengajaran dan pembelajaran yang baik dan berkesan . Tujuan utama pemantauan hanya untuk memperbaiki dan memurnikan lagi persembahan atau strategi pengajaran guru tersebut bukannya untuk mencari kesalahan seseorang ( Abdul Ghani Abdullah, Mohd Yahya Fadzli Jusoh , 2009 : 67 ) 
b) Aktiviti Permainan dan Rekreasi . Permainan dan rekreasi adalah merupakan salah satu aktiviti yang bercorak pendidikan yang dirancangkan bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang berkesan, selesa dan mengembirakan . Melalui aktiviti ini , pelajar akan mendapat peluang tambahan untuk mengembangkan minat , daya kreativiti, sifat ingin tahu , sikap berdikari , bakat kepimpinan dan membabitkan diri dalam membuat keputusan untuk diri sendiri , kumpulan dan masyarakat ( Zaharah Noor Hashim , 2008 : 58 ) . 


 3.0) Kekangan Keberkesanan Kaedah Pengajaran Pengetahuan Agama Islam ( PAI ) . 
Antara kekangan yang menghalang keberkesanan kaedah pengajaran PAI ialah : 

a). Proses pengajaran dan pembelajaran yang pasif . Pengajaran dan pembelajaran guru yang pasif dan kurang kreatif , penyampaian yang membosankan , kaedah mengajar yang kurang berkesan mengakibatkan pelajar kurang meminati mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam . 

b). Masa atau period mengajar terlalu singkat . Peruntukan period mengajar mata pelajaran PAI terlalu singkat iaitu satu masa atau period sahaja sementara itu terdapat pelajar yang ramai dalam sebuah bilik darjah . Oleh itu , guru PAI terpaksa menggunakan kaedah pengajaran yang mudah serta menjimatkan masa . Penggunaan kaedah ini berlaku disebabkan kurangnya pendedahan guru – guru terhadap kursus, bengkel dan seminar tentang perkaedahan pengajaran mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam .

 c).Isi pelajaran tidak sesuai dengan kaedah pengajaran guru. Isi pengajaran tidak sesuai dengan kaedah pengajaran.Ini kerana kekurangan bahan bantu mengajar seperti lut sinar ( OHP ) , komputer ,bilik sumber dan buku teks yang masih menggunakan ejaan lama . Halangan ini berlaku disebabkan ramai di antara guru yang menggunakan bahan bantu mengajar sedangkan alat tersebut tidak mencukupi dan amat terhad . 


 4.0) Kaedah popular pengajaran Pengetahuan Agama Islam ( PAI ) .
 Kajian menunjukan terdapat empat kaedah pengajaran yang popular dan berkesan digunakan oleh guru-guru agama dalam pengajaran Pengetahuan Agama Islam terhadap pelajar iaitu : 

a) Kaedah nasihat . Pelajaran Pengetahuan Agama Islam yang disampaikan dengan kaedah ini memberi kesan kepada pelajar untuk berfikir dengan cara yang islamik . 
b) Kaedah Hafalan. Penggunaan kaedah hafalan dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah mendorong minat pelajar untuk mempelajari subjek tersebut . 
c) Kaedah bercerita. Proses pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah bercerita telah memberi kesan kepada pelajar untuk mengamalkan ajaran islam dalam kehidupan seharian mereka . 
d) Kaedah lakonan. Mengikut pengkaji, kaedah lakonan memberi kesan yang mendalam terhadap pelajar di mana pelajar dapat memperbaiki akhlak dan perangai , membantu pelajar menilai dan menerapkan nilai-nilai islam , membina rasa tanggung jawab pelajar terhadap diri sendiri , keluarga dan masyarakat . Di samping itu, para pelajar juga dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat . Pengajaran melalui kaedah lakonan juga dapat membantu pelajar mengamalkan ajaran islam dengan baik dalam kehidupan seharian mereka . 


 5.0) Ulasan dan Kesimpulan. 
Pada pendapat saya, penerimaan dan pemahaman seseorang pelajar banyak dipengaruhi oleh kaedah dan penyampaian seseorang guru yang bersistematik dan berkesan. Keberkesanan kaedah pengajaran adalah penting dalam membina tingkah laku pelajar dan sahsiah yang mulia disamping kejayaan akademik mereka . Keberkesanan ini juga banyak dipengaruhi oleh kemahiran guru dalam mengendalikan isi pengajaran dan cara penyampaian kepada para pelajar dapat menarik minat mereka untuk mempelajari subjek Pengetahuan Agama Islam . Menurut Prof Dr. Sidek Baba , ada lima faktor yang sangat penting yang membolehkan pengajaran dan pembelajaran berlaku secara berkesan dalam melahirkan insan yang berkeribadian mulia . Pertama , kaedah tradisi yang menggunakan kaedah pengingatan dan hafalan . Ia adalah permulaan suatu kaedah belajar yang baik . Asas ilmu dan formula memahami memerlukan pendekatan mengingat dan menghafal. Ia boleh membantu pelajar memahami ilmu dan juga pemikiran seseorang terhadap ilmu. Kedua , kaedah kefahaman amat dituntut dalam proses pengajaran dan pembelajaran . Tidak dikatakan pengajaran dan pembelajaran mengambil tempat sekiranya proses kefahaman tidak berlaku. Para guru hendaklah mencari cara dan kemahiran yang terbaik bagaimana ilmu yang disampaikan dapat difahami oleh pelajar . 

Pada zaman tradisi islam, seseorang pelajar tidak boleh mengalihkan topik pembelajaran selagi yang dipelajari tidak difahami . Dalam konteks pendidikan kini adakah kaedah ini dapat dilaksanakan ? . Pendidikan kita pada hari ini adalah berorientasikan peperiksaan. Ketiga, kaedah pemikiran amat perlu supaya ilmu yang difahami tidak diterima begitu sahaja tanpa pengembangan pemikiran . Dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran pemahaman yang tidak menghasilkan pemikiran boleh membawa kepada kebekuan dan kemandulan berfikir . Pemahaman dan pemikiran bakal menjana maklumat dan ilmu yang bermanfaat . Inilah tradisi keilmuan silam yang dapat melahirkan ahli fikir yang manpu menjana tamadun . Keempat , kaedah penyerapan atau internalisasi amat penting dalam menghubungkan sistem nilai ( insan ) dengan pelajar . Ilmu yang dikembangkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harus mempunyai domain afektif . Kelima , kaedah amalan atau manifestasi adalah natijah dari proses pengajaran dan pembelajaran . Proses pendidikan dan pengilmuan tidak akan berlangsung sekiranya ilmu tidak difahami , tidak terjadi perkembangan pemikiran , nilai kemanusiaan tidak dapat diserapi dalam kehidupan seorang pelajar . Oleh itu , proses amalan adalah hasil adanya nilai murni pada diri yang memberi kesan terhadap perubahan akal , sikap dan aplikasi nilai terhadap amalan dan tingkah laku seseorang . Seorang guru yang baik ialah seorang guru yang boleh mengajar dengan berkesan. Guru yang berkesan selalu memikirkan bagaimana hendak melibatkan pelajar dalam pengajarannya. Penglibatan pelajar boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar . Penglibatan ini adalah dalam bentuk aktiviti pembelajaran, penyoalan dan lain-lain . Guru yang berkesan akan sentiasa sensitif dan perihatin dengan keperluan pelajar . Guru yang berkesan juga menyediakan objektif pengajaran dengan jelas . Isi pelajaran dan aktiviti pengajaran disusun mengikut objektif berkenaan . Isi pengajaran juga disampaikan menurut urutan dan penerangan guru jelas dan boleh difahami oleh pelajar . Seterusnya dapat menyumbang kepada pencapaian pelajar . Pengajaran yang tersusun dan jelas akan meningkatkan proses pembelajaran pelajar . Sesuatu pembelajaran itu bermakna apabila perkara yang dipelajari diingat dan diaplikasikan dalam situasi yang baru . 

    Kesimpulannya, keberkesanan kaedah pengajaran banyak bergantung kepada kebolehan guru - guru dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran. Pendekatan yang digunakan dalam proses tersebut dapat membentuk tingkah laku dan kefahaman pelajar. Seorang guru hendaklah mempunyai ciri-ciri yang mulia, kreatif, progresif, efektif dan memastikan perkembangan setiap individu pelajar bertambah maju dan mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran . Sekiranya guru tidak memainkan fungsi dengan baik sebagai pendidik , perkembangan dan keberkesanan ilmu dalam kehidupan masyarakat akan terjejas . Peranan guru juga adalah untuk mempertingkatkan segala potensi pelajar dari segi rohani , emosi , rohani dan intelektual . Jadi seorang guru semestinya memperlengkapkan dirinya dengan ilmu sebaik mungkin untuk memikul amanah dan tanggung jawab ini . Tidak ketinggalan semua pihak termasuk ibu bapa , agensi – agensi kerajaan dan masyarakat bertanggung jawab untuk menjayakan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran .


 Bibliografi 

1) Abdul Ghani Abdullah, Mohd Yahya Fadzli Jusoh, Pendidik, Disember 2009 Bil:67. 
2). Abd Razak Dr, Prof Madya ( 2003) Prinsip Teknologi Pengajaran.Shah Alam : Malindo Printers Sdn. Bhd. 
3).Ee Ah Meng. (1995) Pendidikan sebagai satu proses AsasPendidikan 1. Shah Alam Penerbit Fajar Bakti SDN. BHD. 
4). www.ipbl.edu.my/intm/penyelidikan/1998/1998_ 03 Lim .pdf- masalah dan sikap Murid tahun lima. 5). Zaharah Noor Hashim. Pendidik.Oktober 2008, Bil:53.

Comments

Popular Posts

Jenis Ujian dan Penilaian

PENGUASAAN JAWI DAN HUBUNGANNYA DENGAN MINAT DAN PENCAPAIAN PELAJAR DALAM PENDIDIKAN ISLAM.

Kertas Kerja Panitia Agama Islam

Ulasan Jurnal PEMIMPIN PENGAJAR YANG BERKESAN

Ulasan Jurnal 3 (PENGUASAAN JAWI DAN HUBUNGANNYA DENGAN MINAT DAN PENCAPAIAN PELAJAR DALAM PENDIDIKAN ISLAM)